Semalam saya dapat email dari salah seorang pemilik homestay yang menyatakan dia sudah serik menjalankan bisnes homestay kerana homestay beliau pernah dirosakkan oleh penyewa.
Sememangnya, ini adalah antara perkara yang paling ditakuti oleh pemilik-pemilik homestay!
Rumah yang disewakan kena sabotaj dan dijahanamkan oleh penyewa yang tidak bertanggungjawab. Kerusi patah, pintu pecah, kabinet ditanggalkan, barang-barang elektrik hilang kena angkut, pinggan mangkuk semua pecah, sinki tercabut, aircond hilang dan pelbagai lagi perkara yang menyebabkan kerugian beribu-ribu ringgit kepada pemilik homestay.
Tidak dinafikan, perkara ini memang ada terjadi.
Tetapi, keberangkaliannya berlaku adalah sangat kecil. Saya tidak ada statistik berkenaan hal ini, tetapi dari pengalaman saya mengusahakan homestay dan menerima beribu penyewa. Alhamdulilah, tiada kerosakan besar yang saya alami. Sekadar kerusi patah tu pernahlah, itupun bukanlah dilakukan secara sengaja oleh penyewa tersebut.
Seperti yang kita ketahui, semua perkara ada risikonya yang tersendiri.
Seperti kita memandu kenderaan di jalanraya, setiap kali kita memandu di jalanraya, kita terdedah kepada risiko kemalangan jalanraya. Walaupun kita sudah memandu dengan penuh berhemah dan berhati-hati.
Kadang kala, kemalangan itu bukan disebabkan kita, tetapi ianya berpunca dari pemandu lain. Kita memang dah pandu elok-elok, tetiba ada pemandu mabuk pergi hentam kereta kita.
Adakah disebabkan risiko kemalangan itu, maka kita perlu berhenti memandu di jalanraya? Sudah pastinya TIDAK!
Begitulah juga halnya bila kita menguruskan homestay!
Kita dah buat dan sediakan yang terbaik untuk segala-galanya. Tetapi, entah macam mana, kita terdapat pula "penyewa dari neraka". Habis semua barang-barang dalam homestay kita dirosakkan.
Jadi, untuk mengelakkan dan mengurangkan risiko perkara ini dari berlaku. Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan.
1. Ambil Deposit
Kita hendaklah mengambil security deposit atau deposit keselamatan secara bank trasfer atau cash sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan pelanggan membuat kerosakan pada harta benda kita di homestay.
Kebiasaannya, kadar security deposit yang diambil adalah sebanyak RM200, tetapi, sekiranya kos kerosakan tersebut melebihi daripada jumlah security deposit yang diambil, kita boleh mengenakan caj tambahan ke atas pelanggan.
Oleh sebab itu, adalah SANGAT PENTING untuk kita membuat pemeriksaan bilik ketika pelanggan check out.
Kebanyakkan kes yang berlaku, pengusaha homestay tidak periksa homestay mereka ketika pelanggan checkout. Lebih malang lagi, mereka memang langsung tidak ada ambil sebarang deposit dan tiada sistem pengurusan dan dokumen yang betul. Tempahan pun hanya sekadar pakai mulut atau whatsapp sahaja, tiada borang order, tiada invoice, tiada resit, tiada deposit.
Jadi, apabila berlaku msalah seperti ini, pihak homestay tiada maklumat lengkap pelanggan dan tiada dokumen pengesahan mengatakan pelanggan menginap di homestay mereka. Sebab itulah kita perlu ada proper dokumen untuk menguruskan homestay kita.
2. Gunakan Online Travel Agency (OTA)
OTA seperti Airbnb, Expedia dan seumpamanya, ada menyediakan pilihan kepada pemilik homestay untuk mengenakan kadar surcaj kepada pelanggan jika didapati ada berlaku kerosakan atau kehilangan barang di dalam homestay.
Kadar surcaj ini akan ditolak terus dari kad kredit pelanggan, dengan syarat, pihak homestay perlu membuat laporan dalam masa 48 jam beserta gambar kepada pihak OTA.
Kaedah ini, pada saya lebih selamat dan mudah.
Itulah antara 2 langkah yang boleh kita ambil dan lakukan untuk mengurangkan risiko homestay kita dirosakkan oleh penyewa-penyewa yang tidak bertanggungjawab.
Diharapkan anda tidak mudah berputus asa jika menghadapi ujian-ujian seperti ini.
*Kredit: Perkongsian di atas adalah di tulis oleh rakan admin, Faridil Atras, pemilik rangkaian homestay Fardain Place.
Jika anda berminat untuk belajar tentang pengurusan homestay, Tuan Faridil Atras ada menyediakan ebook panduan bagaimana nak menjalankan bisnes homestay yang betul dan menguntungkan.
Comments
Post a Comment